HALAMAN UTAMA | APA ITU INCUBATOR ? | TENTANG KAMI | SENARAI HARGA INCUBATOR | MANUAL FORCED-AIR INCUBATOR (BARU) | AUTOMATIC FORCED-AIR INCUBATOR (BARU) | JAMINAN ( WARRANTY ) | ALAT GANTI | TEMPAHAN ONLINE | GALERI | DIGITAL THERMOSTAT | PANDUAN PENGGUNA | PROFIL SAYA

Anizam Agro Farm Enterprise - Pembuat Incubator Sejak 1996

PANDUAN PENGGUNA

Halaman ini adalah khas untuk para pengguna produk INCUBATOR.  Harap para pelanggan mendapat sedikit maklumat dan panduan berguna dari halaman ini. Terima kasih.

1.  PANDUAN MEMILIH DAN MENJAGA TELUR SEBELUM PENGERAMAN

dscn4580.jpg

Telur-telur yang ingin dimasukkan ke dalam incubator mestilah sempurna dari segi rupabentuk, permukaan kulit dan saiz.  Telur-telur yang tidak sempurna atau cacat tidak akan menetas walaupun dieram oleh induk ayam sendiri.  Telur paling sesuai disimpan di antara 2-7 hari sebelum dimasukkan ke dalam incubator.  Penyimpanan telur di atas tray telur mestilah dengan hujung bulan ke atas dan hujung runcing ke bawah. Ini bagi mengelakkan ruang udara dalam telur daripada pecah atau bocor akibat himpitan dari cecair dalam telur itu sendiri.

dscn4583.jpg

Telur yang telah dikumpul mestilah kering dan bersih, namun begitu aktiviti membasuh telur menggunakan air adalah sangat tidak digalakkan malahan dilarang terus apabila penternak ingin menggunakan incubator sebagai medium penetasan telur.

dscn4584.jpg

Sebaliknya untuk membersihkan telur yang telah dikumpulkan, penternak digalakkan menggunakan span atau kain kering untuk mengesat kotoran seperti najis atau tanah yang terdapat di kulit telur.  Kaedah ini adalah selamat kepada telur dan akan menjamin kejayaan penetasan.

dscn4585.jpg

Kulit telur mempunyai satu lapisan nipis bahan pelindung semulajadi yang dihasilkan bagi menghalang kemasukan bacteria ke dalam telur. Lapisan ini adalah sangat nipis sehinggakan akan terhapus sekiranya dibasuh atau dibersihkan dengan bendalir. Oleh itu, elakkan membasuh telur dan sebaliknya gunakanlah kaedah alternatif yang telah diajarkan.

dscn4593.jpg

Bagi penternak yang sering memasukkan telur ke incubator dari pelbagai peringkat, sila tuliskan tarikh telur dimasukkan atau tarikh jangkaan menetas di atas kulit telur. Elakkan mengunakan marker atau seumpamanya kerana ia mungkin racun kepada telur sebaliknya gunakanlah pensel biasa sebagai bahan menanda.  Selain tarikh, baka, no. ibu, no. bapa, no. reban dan sebagainya juga boleh ditulis ke atas kulit telur sesuai dengan rujukan para penternak.

dscn4594.jpg

Setelah itu masukkan telur-telur ke dalam incubator setelah pengesan suhu pelarasan dibuat, pastikan bulb pengesan suhu thermostat berada betul-betul di atas telur bagi membolehkan ia mengesan suhu sebenar pada permukaan kulit telur.  Perkara ini adalah sangat penting yang mana kebanyakan penternak tidak menyedarinya.

.
2.  PANDUAN MENYULUH TELUR / EGG CANDLING

suluh1.jpeg

.                                                                                                                  Tujuan menyuluh telur adalah bagi memeriksa keadaan emBrio / anak ayam yang ada dalam telur. Dengan cara ini, penternak dapat memastikan incubator sentiasa terlaras dengan betul dan peratus penetasan adalah tinggi.

Berikut adalah kaedah memegang telur ketika ingin melakukan suluhan telur. Lampu suluh boleh digunakan sebagai sumber cahaya. Objektif aktiviti ini samalah seperti objektif x-ray.

suluh3.jpeg

Menyuluh telur mestilah dijalankan di persekitaran gelap contohnya di dalam bilik gelap jika disiang hari atau paling mudah dilakukan pada malam hari dengan memadamkan semua lampu. Ini bertujuan memastikan bayang emrio / anak ayam di dalam telur dapat dilihatj dengan jelas.

hari1.jpeg

HARI PERTAMA PENGERAMAN

 

Telur kelihatan cerah tanpa tanda-tanda bayangan.  Ini menunjukkan telur dalam keadaan sihat dan segar.

hari5.jpeg

HARI KE-5 PENGERAMAN

 

Bayangan embrio semakin jelas dalam bentuk jalur-jalur darah dan membesar serta akan semakin aktif bergerak. 

hari10.jpeg

HARI KE-10 PENGERAMAN

 

Bayangan embrio telah memenuhi separuh ruangan telur, pada tahap ini, tubuh anak ayam telah mula kelihatan dan terdapat pergerakan aktif seolah embrio berenang di dalam telur.

hari15.jpeg

HARI KE-15 PENGERAMAN

 

Bayangan embrio telah hampir memenuhi ruangan telur, pada tahap ini, tubuh anak ayam telah membesar dan kadar pergerakan semakin kurang dapat dilihat kerana tubuh anak ayam semakin menghimpit cengkerang telur.  Mungkin hanya pergerakan kakinya sahaja yang kelihatan bergetar.  Dalam masa 6 hari telur akan menetas. ( Bagi ayam tempoh pengeraman adalah 21 hari ).

embriomati.jpeg

Foto di sebelah menunjukkan contoh embrio yang telah mati di dalam telur.  Emrio ini baru berusia 2-5 hari dan mungkin mati akibat panas lampau atau keadaan telur yang cacat.

3. PENJAGAAN ANAK AYAM DALAM TEMPOH 14 HARI PERTAMA

 

1.       Penggredan Anak Ayam

 

Aktiviti menggred anak-anak ayam dijalankan dengan mengasingkan anak-anak ayam kepada beberapa kumpulan yang telah ditetapkan.  Tujuan pengasingan ini dijalankan adalah bagi memudahkan proses pemeliharaan mengikut kualiti anak-anak ayam tersebut. Sebagai contoh, kadar tumbesaran kumpulan anak ayam Gred A adalah lebih cepat berbanding kumpulan anak ayam Gred B.  Oleh yang demikian, dengan pengasingan atau penggredan yang telah dilakukan, keseragaman tumbesaran anak ayam akan diperolehi.  Ini dengan sedikit sebanyak akan dapat meminimakan kos atau modal berulang seperti kos makanan, ubatan, upah pekerja dan bekalan air serta elektrik. 

 

Di samping itu juga, ia dapat memudahkan pengurusan semasa penjualan.  Namun begitu, usaha penggredan yang bakal dijalankan perlulah mengambilkira baka yang digunakan, kerana setiap baka kacukan adalah berbeza kadar tumbesaran, daya tahan penyakit dan keperluan pemakanannya.  Secara kesimpulannya, aktiviti penggredan dapat memberikan beberapa manfaat iaitu:

 

                                                              i.    Memudahkan pengurusan menternak cth: pemberian makanan, ubatan, kawalan penyakit.

                                                             ii.      Menjimatkan kos

                                                            iii.      Menjimatkan masa

                                                            iv.      Tumbesaran ayam yang seragam

 

Biasanya gred anak-anak ayam kampung dibahagikan kepada tiga iaitu Gred A, Gred B dan Gred C.  Penggredan juga dijalankan hanya kepada anak-anak ayam yang tetas pada masa yang sama dan dengan benih dari baka yang sama sahaja. 

 

Berikut adalah keterangan mengenai sifat-sifat anak ayam dalam setiap gred.

 

 

GRED

SIFAT & KELAKUAN ANAK AYAM

A

Saiz badan yang seimbang, mata yang cerah/jernih, paruh yang sempurna, batang kaki yang besar/tegap/berisi, dubur yang bersih dari sisa najis, bulu yang bersinar, mempunyai selera makan yang tinggi dan tiada kecacatan fizikal lain.

B

Saiz badan yang seimbang tetapi lebih kecil dan ringan dari anak ayam Gred A, mata yang cerah/jernih, paruh yang sempurna, batang kaki yang kecil/kurang berisi, dubur yang bersih dari sisa najis, bulu yang bersinar, mempunyai selera makan yang tinggi dan tiada kecacatan fizikal lain

C

Saiz badan yang seimbang tetapi lebih kecil dan ringan dari anak ayam Gred A, paruh yang sempurna, batang kaki yang kecil/kurang berisi, dubur terdapat kesan najis, mempunyai selera makan yang rendah dan tiada kecacatan fizikal lain

 

 2.  Penyediaan Tempat Didikan

 

Tempat didikan anak ayam boleh dihasilkan daripada kepingan plywood, kotak kertas, akuarium atau bekas plastik yang besar.  Kotak dengan ukuran 1 meter panjang x 1 meter lebar adalah sesuai menempatkan 50 ekor anak ayam yang baru tetas dari berumur 1 hari sehingga 2 minggu. Kotak atau tempat didikan anak ayam mestilah mempunyai ketinggian dinding sekurang-kurangnya 60 cm bagi menghalang kehilangan udara panas dari dalam keluar dan menghalang udara sejuk dari luar masuk ke dalam. 

 

Kotak atau tempat didikan anak ayam juga perlu diletakkan di dalam kawasan tertutup tetapi mempunyai pengudaraaan yang baik seperti dalam rumah, dalam reban berbumbung dan dalam bangsal yang mana ia terhindar dari tempias air hujan dan jauh dari sinaran cahaya matahari secara langsung. Elakkan daripada menggunakan kipas terhadap anak ayam dengan tujuan memberikan pengudaraan yang baik kerana ini akan mengganggu suhu badan anak ayam dan menyebabkan selera makannya terbantut. 

 

Lampu bulat 60 watt adalah sangat sesuai diletakkan di dalam tempat didikan anak ayam kerana lampu dengan kuasa ini dapat memberikan haba yang mencukupi kepada anak-anak ayam yang baru menetas.  Ini kerana anak ayam yang baru menetas tidak dapat menjaga haba yang tinggi disebabkan tubuhnya yang bersaiz kecil dan tiada lapisan bulu tebal untuk melindungi tubuhnya daripada kesejukan.  Lampu mestilah digantung supaya tidak bersentuhan dengan dinding secara terus bagi mengelakkan kebakaran. Lampu juga mesti jauh daripada sumber lembapan seperti takungan air minuman anak ayam.  Suhu di dalam tempat didikan mestilah di antara 30°C – 32°C bermaksud, terdapat ruang di mana anak-anak ayam akan berlegar-legar dan bermain menunjukkan mereka mendapat bekalan suhu yang sepatutnya. 

 

Bekalan lampu 60 watt ini perlu di alihkan setelah hari ke tujuh dan digantikan dengan lampu 25 watt.  Lapisan lantai anak ayam biasanya diletakkan kertas tebal seperti kertas kotak atau lapisan surat khabar lama.  Ini bagi menyerap lembapan daripada najis anak ayam supaya keadaan tempat didikan anak ayam sentiasa kering.  Kelembapan akan menggalakkan pembiakan bakteria dan ada sesetengah ‘bakteria tidak baik’ akan menyebabkan jangkitan kepada anak ayam dan seterusnya mati.  Terdapat juga penternak yang meletakkan pasir, habuk kayu yang mana dikira juga sesuai. Elakkan daripada meletakkan bahan daripada plastik sebagai lantai tempat didikan anak ayam.  Ini kerana plastik diketahui tidak akan menyerap lembapan tetapi akan menyebabkan keadaan dalam tempat didikan basah, becak dan tidak sihat untuk dihuni.  Elakkan juga lantai BRC kerana udara sejuk akan dapat masuk melalui lantainya dan memberi kesan langsung kepada kesihatan anak ayam. 

 

Tukar lapisan lantai tempat didikan anak ayam 2-3 hari sekali ataupun bergantung kepada tahap kebersihan lantai tersebut.  Lapisan lantai dikira perlu ditukar setelah najis-najis anak ayam kelihatan melekat pada kuku kaki anak ayam tersebut.  Bagi kes ini, sila tukarkan lapisan tersebut dan bersihkan kuku anak ayam dari najis menggunakan kain atau span basah. Anak ayam sangat sensitif, oleh itu perhatian yang lebih adalah sangat diperlukan bagi memastikan peratusan anak ayam hidup hingga berumur sebulan adalah tinggi.  Ini adalah kerana selepas berumur sebulan, anak ayam akan lebih tahan lasak serta tahap imunisasinya lebih baik dan sudah sedia untuk dipelihara di luar tempat didik. 

 

Tempat didikan anak ayam juga mestilah bebas daripada gangguan pemangsa seperti kucing, tikus, ular, biawak dan sebagainya. 

 

 

 

  

3.       Makanan dan Minuman

 

Sediakan empat bekas minuman 1 liter atau dua bekas minuman 1 gelen bagi setiap 100 ekor anak ayam.  Bagi jumlah anak ayam yang kurang daripada 50 ekor, cukup sekadar sediakan dua bekas minuman 1 liter.  Letakkan batu kerikil di dalam air bagi mengelakkan anak ayam terjatuh dan lemas di dalamnya kelak.  Letakkan 3-4 ekor anak ayam di dalam air supaya mereka akan tahu di mana lokasi bekas air.  Tempatkan bekas makanan yang bersaiz sederhana tinggi dan jarakkan daripada bekas air bagi mengelakkan makanan menjadi lembap kesan daripada kaki anak ayam yang basah. 

 

Dalam tempoh 1-3 hari setelah menetas, anak ayam masih mampu bertahan tanpa makan dan minum kerana sumber pemakanannya masih lagi diperolehi daripada albumin telurnya dahulu.  Oleh itu, masa tersebut digunakan oleh anak ayam untuk belajar mematuk apa sahaja di sekeliling mereka.  Gunakan dedak halus bergred 201C untuk pemula ayam daging kerana dedak jenis ini diketahui dapat memberikan haba dan antibiotik kepada anak ayam secara berterusan.  Disebabkan dedak ini adalah “panas” oleh itu pastikan air minuman sentiasa tersedia dan bersih.  Tukarkan air yang telah bertukar warna atau berbau.  Masukkan tonic minuman ayam atau vitamin lain bagi menambahbaik sistem imun anak ayam. 

 

Elakkan memberi anak ayam makan beras hancur atau bahan makanan lain selain dedak 201C kerana partikel halus beras hancur biasanya akan masuk ke dalam mata anak ayam dan menyebabkan jangkitan.  Bunyi anak ayam adalah salah satu cara bagi mengetahui keadaan kesihatan anak ayam.  Anak ayam akan mengeluarkan nada bunyi yang lembut dan rendah apabila ia sihat, cukup makan, cukup minum dan bersih.  Apabila ia kesejukan, suara anak ayam akan lebih cenderung menciap keras dan nyaring secara berterusan.  2 minggu pertama anak ayam mestilah dijaga dengan baik.  Ini adalah kerana, anak ayam yang menghadapi masalah ketika tempoh ini dikenalpasti akan menghadapi gangguan pertumbuhan dan tumbesaran. 

 

Bagi menghasilkan anak ayam yang sihat, anak ayam perlu diberikan ruang yang luas untuk ia bermain, makan dan minum.  Setiap 10 ekor anak ayam yang berumur 2 minggu memerlukan keluasan 1 meter persegi sehingga ia berumur 6 minggu.

 

4.       Petua dan Tips Penjagaan 

                     i.      Anak ayam yang menghadapi kemurungan perlu diberikan pendedahan secara langsung kepada cahaya matahari yang tidak terik, anak ayam yang berkeadaan begini biasanya akan berjemur dengan sendirinya apabila melihat cahaya matahari dan beralih daripada cahaya tersebut apabila telah selesai berjemur. 

                    ii.      Dedak pemula ayam pedaging bergred 201C adalah sangat penting dalam membesarkan anak ayam tanpa banyak masalah, oleh itu jangan sesekali menggunakan bahan makanan lain selain daripadanya.

                  iii.      Persekitaran tempat didikan yang bersih akan menjamin kesihatan dan tumbesaran anak ayam pada masa hadapan.

                  iv.      Arang kayu adalah sesuai diletakkan di dalam tempat didik memandangkan sifatnya yang menyahbau.

                    v.      Elakkan dari menyemburkan racun serangga, nyamuk dan sebagainya berdekatan dengan tempat didikan anak ayam.